Semasa Mooke bekerja sementara di UK, waktu malam kerap diisi dengan perbualan melalui YM. Sama zon masa, jadi tiada masalah kompatibiliti di situ. Dan dalam banyak-banyak perbualan kami, Mooke pernah menyarankan aku menulis dalam BM. Bukan sebahagian daripada Organised Chaos, tetapi blog berbeza yang mengetengahkan pendapat dan komentar aku tentang sosio-politik semasa.
“Kau boleh sampaikan pendapat kau kepada suatu audiens yang berbeza; yang tidak membaca blog Bahasa Inggeris,” kata Mooke. “Aku sebenarnya tidaklah menulis blog kepada mana-mana audiens,” aku memberitahu Mooke. “Cuma aku bersyukur juga ada orang yang nak baca.” Sedikit merendah diri, walaupun agak berbesar hati kerana ada juga orang yang merasakan pendapat aku boleh diketengahkan kepada audiens yang lebih besar.
Maka dari saranan Mooke itulah lahirnya blog ini. Umpama perlaksanaan azam baru tahun 2008. Aku sedar bahawa penguasaan Bahasa Malaysia aku tidak berapa kemas dan teratur. Struktur ayat kadangkala berterabur. Malah pernah ditegur secara terangan, “BM is not your forte.” Tapi aku cuma sekadar ingin mencuba. Bagi aku, bahasa sekadar alat komunikasi. Aku tiada agenda permartabatan atau sebaliknya. Kalau anda, pembaca budiman, seorang pakar nahu atau guru bahasa, siang-siang aku mohon maaf.
Bakal ditulis hanya sekali seminggu dalam Bahasa Malaysia, blog ini mengetengahkan pendapat dari pemerhatian aku dalam isu sosial, politik dan ekonomi. Bukan pendapat intelek – kerana jauh sekali aku intelek. Bukan pendapat ilmiah – kerana walaupun aku seorang ahli akademik, ini bukan bidang aku. Bukan pendapat yang bakal mengubah apa-apa. Aku bukan ahli, aku bukan pakar; tapi aku juga tidak partisan. Ini semua sekadar pendapat. Dengan harapan, dapat dibincangkan.. atau paling tidak, difikirkan. Dengan harapan, tidak disisihkan.
4 Comments
January 27, 2008 at 12:28 am
a very nice thought inside.keep it up
February 18, 2008 at 12:46 pm
[...] Pilihan: Blog Komen:tari @ Organised Chaos Penulis blog ini seorang pensyarah/penyelidik muda, yang sedang menyelesaikan kajian PhD di United Kingdom. [...]
February 19, 2008 at 9:09 am
nice..
February 23, 2008 at 9:27 pm
silap lagi salah..sapa bilang “bm is not ur forte tuh?”
meh sini… ambo nok sekeh sikit! bg aku yg hanya pandai kecek bm jah meme kagum dan hargai juga bakat dan usaha hang nak tulis dalam bm. bahasa hang baguih apa!