February 10, 2008...9:44 pm

Tampuk Kuasa Alaf Baru

Jump to Comments

Kertas kerja pertama yang saya bentangkan di sebuah konferens di Kuala Lumpur berkisar tentang peranan media dalam skandal kewangan Enron. Dalam kertas kerja itu saya mengupas bagaimana keghairahan media yang begitu bingkas memuji Enron berjaya membantu harga saham Enron naik dengan mendadak; tetapi apabila mulai jelas bahawa Enron sebenarnya menjana keuntungan melalui penipuan, berbagai pihak termasuk firma juruodit ternama Arthur Andersen dibicarakan, tetapi peranan media dalam skandal tersebut tidak luas dibincangkan. (Malangnya kertas kerja tersebut hingga kini tinggal sebagai kertas kerja; InsyaAllah mungkin saya boleh perbaharui dan terbitkan dalam masa terdekat ini).

Pokok argumen saya ialah, media sebenarnya suatu kuasa yang begitu licik dan mampu menentukan nada dan reaksi masyarakat bila berdepan dengan sesuatu isu. Malahan, media, sebagai wadah komunikasi, mampu digunakan sebagai alat yang sangat berkesan dalam penyebaran propaganda, idea, sentimen dan meletakkan garispanduan untuk berfikir secara tersirat. Lihat sahaja bagaimana dunia kewangan bernafas melalui maklumat yang disebarkan melalui media massa. Naik turun harga saham sesebuah syarikat mampu ditentukan hanya dengan bisikan halus khabar angin sahaja.

Beberapa minggu lepas dunia dikejutkan dengan ruduman bursa saham di seluruh dunia secara tiba-tiba. Beberapa hari selepas bursa saham dari Tokyo ke New York ke London ke Hong Kong baru mulai pulih, barulah jelas bahawa kejatuhan tersebut, antara lain, diasaskan oleh khabar angin bahawa sebuah bank di Perancis mengalami kerugian berbilion Euro akibat spekulasi matawang. Hanya dengan khabar angin, berjaya menundukkan bursa saham terhebat. Begitulah kemampuan media massa.

Ketika peperangan di Iraq giat berlangsung, wujud beberapa analisa tentang perbezaan rangkaian televisyen di Amerika Syarikat mengolah berita yang disampaikan tentang pertempuran di sekitar Baghdad, Mosul dan Basra. Untuk menaikkan moral rakyat dan meyakinkan mereka bahawa tindakan pemimpin mereka, George W Bush, itu adalah betul, diberitakan kejayaan askar Amerika Syarikat walaupun mereka hebat dikekang pejuang di Iraq. Malah, lihat sahaja bagaimana saya mengolah ayat tadi: pihak Amerika saya gambarkan sebagai ‘askar’, pihak Iraq sebagai ‘pejuang’.

Jadi premis saya di sini ialah, untuk menguasai pentas dunia, kita perlu menguasai media massa. Namun saya tidak nampak pelaburan intensif terutama dari segi pendidikan dalam usaha menguasai media massa. Seperti yang seringkali saya bangkitkan, kita lebih ghairah menghantar orang ke bulan – satu perlumbaan yang disertai negara-negara maju lebih kurang empat-puluh tahun dahulu. Mereka sudah tidak berapa gemar ke bulan sekarang; mereka lebih gemar berpijak di bumi nyata dan mengubah persepsi anda melalui pendapat mereka yang digambarkan secara terangan melalui berita atau secara tersirat melalui cereka di televisyen atau di panggung wayang.

Seorang rakan, baru baru ini, membuat kesimpulan bahawa di Amerika Syarikat, apa jua filem yang menggambarkan kerajaan mereka sebagai penjahat atau tidak bermoral pasti mendapat tohmahan media. Beliau memberi contoh filem In The Valley of Elah, Rendition dan Charlie Wilson’s War: filem yang mempunyai premis yang menarik serta olahan yang begitu baik tetapi gagal mendapat sambutan akibat kurang sokongan media. Fikirkan sahaja sebanyak mana pendapat pengulas filem mempengaruhi keputusan anda untuk menonton sesebuah filem dan anda boleh mulai gambarkan kuasa media, walaupun dalam kekangan terhad bidang hiburan.

Begitu ironik, kalau kita kira, bagaimana peranan media tidak dimartabatkan setinggi sains dan teknologi dalam masyarakat kita, sedangkan kita sudah akur bahawa pada abad ke-21, janaan ekonomi terletak pada pengetahuan dan ilmu, dan bukan pada bangunan dan aset tetap. Tidak cukup berbicara sahaja soal K-Ekonomi dalam persidangan yang menekan belanja puluh-ribuan ringgit; tidak cukup dengan paparan PowerPoint untuk menunjukkan kita ada penguasaan teknologi maklumat. Ia perlu sejajar dengan pelaburan yang kita buat.

Saya pernah berkata, ditakdirkan saya kaya, sudah pasti saya asaskan beberapa dana untuk membolehkan lebih ramai mendalami ilmu media massa di luar negara untuk kemajuan Malaysia. Tetapi ujar kawan saya yang secara relatifnya lebih sinikal, apa guna belajar soal media massa di luar negara untuk pulang dan dihalang dari mengunakannya?

1 Comment

  • Saya suka membaca entri ini, dan terbayang-bayang kaitannya dengan isu ’sharia law’ yang hangat di UK sekarang. Tapi memang, kuasa media sekarang sudah melangkau lebih dari sekadar pengantara informasi (yang sepatutnya dicerna oleh manusia, bukan ditelan bulat-bulat).

    Media sekarang sudah utuh bertapak sebagai satu sistem sosio-poli-ekonomi yang dominan. Ia boleh saja jadi satu industri kapitalis (misalnya di UK, industri ‘tabloid’ menjana untung jutaan £ dan memberi pekerjaan kepada ribuan penduduk. Dengan hanya bermodalkan ‘gosip’ dan ’spekulasi’, can you believe it?), satu agen propaganda, bahkan juga boleh menjadi ‘acuan’ pemikiran satu-satu komuniti.

    “Tetapi ujar kawan saya yang secara relatifnya lebih sinikal, apa guna belajar soal media massa di luar negara untuk pulang dan dihalang dari mengunakannya?”

    Saya juga sangat suka ayat penamat itu. Sungguh klasik! :)


Leave a Reply