Beberapa minggu lalu aku telah berjaya menghabiskan buku ‘Lost History’ karya Michael Hamilton Morgan. Diterbitkan oleh National Geographic, Morgan berjaya mencantumkan fenomena sains, falsafah, kesenian dan kesusasteraan di abad ke-21 dengan asal usulnya yang bukan bertapak di Eropah pada zaman Renaissance, tetap lebih awal dari itu di perkarangan istana-istana sultan dan khalifah kerajaan Islam. Hampir setiap penemuan saintifik yang dikreditkan kepada saintis Eropah terkemudian asasnya dari penyelidikan dan ketekunan cendikiawan Muslim terdahulu. Sebagai contoh, Rule of Inertia yang sering dikaitkan dengan Isaac Newton, terlebih dahulu diketengahkan oleh Ibn al-Haytham beberapa abad lebih awal.
Dalam pada masa yang sama, seorang ahli fizik terkenal di UK, Prof Jim Al-Khalili, membuat catatan di dalam akhbar harian The Guardian tentang sumbangan sains Arab kepada pengetetahuan sains masa kini; dan seperti mana yang diketengahkan oleh Morgan, menggesa para ilmuan untuk menilai sumbangan dunia Islam di dalam usaha memperbaiki jambatan antara budaya yang kian rapuh akibat kerakusan United States dan United Kingdom memusnahkan negara yang dianggap endul tamadun Islam gemilang, yakni Iraq. Menarik bagaimana Prof. Al-Khalili, yang berlatarbelakangkan ibu Protestan dan ayah Sh’ia Muslim yang keluarganya berasal dari Iraq, menggunakan terma ’sains Arab’ dan bukan ’sains Islam’ dalam catatan beliau.
Sehari selepas catatan Prof. Al-Khalili, beberapa surat diutuskan dalam ruangan Surat kepada Pengarang akhbar yang sama. Ada yang menyokong dan ada yang menegur keghairahan profeseor kelahiran Baghdad itu dalam mengagungkan pencapaian sains Arab masa lampau. Surat yang paling menarik datang dari Middlesex, di mana penulisnya berpendapat bahawa dalam kita mengagungkan pencapaian intelek Islam masa lampau, sukar sama sekali ia diulangi pada zaman sekarang, kerana dalam rejim yang wujud di kebanyakkan negara yang mengaku sebagai negara Islam, tiada ruang untuk debat, diskusi dan percanggahan pendapat yang menjadi pencetus kepada kegemilangan ilmu di kota-kota Islam zaman terdahulu.
Apabila kita membicarakan ilmu dan perkembangan pengetahuan, begitu terbantut sekali jika kita hadkan definisi kemajuan pengetahuan itu dalam lingkungan ilmu sains dan teknologi sahaja. Perlu juga sejajar dengan itu adanya perkembangan dan sekurang-kurangnya debat terbuka soal falsafah, politik, sastera dan kesenian. Curahan wang beribu dan berjuta ringgit atas nama penyelidikan tidak mampu mengaburi mata rakyat yang berfikir matang dan kehadapan tentang tertutupnya ruang inkuiri dalam hal-hal lain.
Lihat bagaimana di negara kita sendiri, walaupun angkasawan telah dihantar ke angkasa lepas, debat politik secara terbuka masih tidak wujud; kesusasteraan dipinggirkan dalam silibus pembelajaran untuk digantikan dengan karya yang ‘lebih mudah difahami’ dan pengkritik dasar ekonomi begitu cepat dipalitkan dengan tuduhan tidak patriotik. Malahan luahan seorang rakan sekerja yang pernah menyelia pelajar PhD dari sebuah negara Islam masih terngiang-ngiang: kata rakan sekerja, dia mencadangkan yang pelajar PhD itu menyiasat soal jaringan nepotisma dalam konteks tadbir-urus korporat, tetapi pelajar tersebut enggan kerana takut kehilangan pekerjaan sekembalinya ke tanahair pelajar itu kelak. Bagaimana untuk mencapai kegemilangan ilmu, kalau inkuiri mudah seperti ini pun dibuat dalam bayangan ketakutan?
Pernah aku terbaca di forum perbincangan maya, pendapat seorang pemuda yang berkata beliau kurang ‘respect’ kepada mereka yang mempunyai ijazah tinggi dalam bidang selain sains dan teknologi. Menurutnya, seseorang yang mempunyai PhD dari Harvard dalam bidang bisnes tidak semestinya hebat dalam mengurus bisnes; tetapi seseorang yang mempunyai PhD dalam bidang fizik sudah pasti jelas kepakarannya. Bidang sains sosial sering diperlekehkan sebagai bidang yang tiada kepentingan dalam kemajuan sesebuah negara; yang tiada tempat dalam usaha menaikkan taraf negara membangun kepada negara maju.
Contoh paling mudah ialah jumlah peruntukkan wang yang diberi dalam bentuk bantuan pelajaran bagi mereka yang ingin menjadi jurutera atau mempelajari bidang sains komputer; bandingkan pula bantuan pelajaran kepada mereka yang ingin menjadi ahli sejarah, falsafah atau membuat filem. Sedangkan bidang falsafahlah yang memperkukuhkan sistem moral dan perlakuan; dan ahli sejarah dan pembuat filem lah yang meninggalkan rekod tentang apa yang berlaku hari ini untuk dijadikan asas kepada pembinaan tamadun masa hadapan.
Dalam buku beliau, “People of the Book” yang juga berusaha mengingatkan pembaca kepada peranan dan sumbangan Islam, Zachary Karabell berkata bahawa sejarah sebenar tentang apa yang berlaku di dalam Islam dalam masa seratus tahun selepas kematian Rasulullah s.a.w. tidak jelas kerana kurangnya catatan sejarah ketika itu. Beliau juga berpendapat bahawa penyebaran Islam secara penaklukan tanpa darah ‘dilupakan’ dalam sejarah dengan begitu mudah, kerana pendapat bahawa Islam disebarkan sebahagian besarnya dengan ‘pedang’ lebih sesuai untuk kegunaan pihak berkepentingan masa kini. Di manakah sejarahwan Islam kita hari ini untuk menegakkan tali tasi (bukan benang rapuh lagi basah) ini?
Kita sering mengeluh apabila filem ‘Barat’ kononnya sering memaparkan ‘Timur’ sebagai jahat, kolot atau ekstrim; tetapi apa usaha kita dalam mengubah persepsi ini? Karya filem yang mengajak rakyat berfikir dan menilai sering diharamkan tayangannya; lantas kita berbekalkan ‘Pasrah’ dan ‘Sembilu’ untuk dijadikan simbol tamadun rakyat Malaysia abad ke-20.
Tidaklah di sini aku berkata bahawa sains dan teknologi itu tidak berguna; malah sebaliknya! Tetapi perlulah sejajar dengan memperkembangkan bidang ilmu lain, dalam usaha melahirkan generasi yang seimbang. Apakah kita mahu, lima puluh tahun dari sekarang, wujudnya generasi yang berjaya membina senjata pertahanan tercanggih di dunia, tanpa bekalan kompas moral atau apresiasi sejarah untuk menjadi panduan mereka?
Memang ramai yang tidak gemarkan perubahan. Ramai yang tidak mahu berganjak dari tempat duduk yang empuk dan selesa; lantas menjaga sudut peribadi mereka itu dengan baik dengan tidak mempersoalkan apa yang berlaku disekeliling. Apa perlunya debat, apa perlunya perbincangan.. kita kan sudah selesa begini, kenapa mahu kelainan? Tetapi bukankah dengan debat dan keterbukaan dalam mempersoalkan apa yang berlakulah baru berkembangnya sesebuah tamadun?
Di zaman kegemilangan Islam, saintis seperti Ibn al-Haytham juga terlibat dengan debat falsafah; Ibn Khaldoun pula pakar dalam bidang ekonomi, sejarah dan usuluddin; Al-Biruni mempelopori bidang fizik, matematik, psikologi dan sejarah; Ibn Sina mendalami ilmu perubatan dan usuluddin dengan kepakaran yang sama. Apakah mereka ini sebenarnya datang dari spesis genius yang tidak lagi wujud pada masa kini? Apakah sebenarnya yang membolehkan mereka mendalami begitu banyak ilmu dalam jangka hayat yang tidak jauh beza dari kita hari ini? Dengan kemajuan teknologi yang ada pada kita.. dengan jawapan di hujung jari bagi setiap persoalan yang timbul ehsan Shaikh Wikipedia; bagaimanakah kita masih gagal menyamai pencapaian lampau? Atau mungkinkah kerana pada ketika itu, masih banyak lagi yang tidak kita tahu, jadi oleh kerana sekarang kita sudah tahu (terima kasih kepada ilmuan lampau) kita tidak ada lagi apa yang perlu dipelajari? Apa kata kamu?
2 Comments
February 6, 2008 at 8:26 pm
salaam… awat hang kata bm hang tak baguih…baguih apa tuh…
betul kah sejarah rasulullah hanya dicatat selapas berabad kemankatannya?
aku musykil gak bile baca kenyataan karabell tuh..
February 11, 2008 at 12:08 am
“…Menurutnya, seseorang yang mempunyai PhD dari Harvard dalam bidang bisnes tidak semestinya hebat dalam mengurus bisnes; tetapi seseorang yang mempunyai PhD dalam bidang fizik sudah pasti jelas kepakarannya…”
that’s because he likes to see things in black and white. but science is not absolute, and a GOOD engineer or scientist knows that there’s no one right or wrong solution.
i guess part of the reason why science is promoted more is to have more of these black-or-white, right-or-wrong kind of people. Then it helps to churn out simple arguments like:
kerajaan is good, opposition is bad
east is good, west is bad
malay is good, other races are bad
islam is good…
and so on.
There’s too much uncertainty in a social science subject. Are you sure ‘our people’ can deal with it?
Note: I’m a malay muslim, just in case anyone is wondering