Rakan taulan yang mengenal aku pasti tahu bahawa aku sangat gemar pergi ke The Old Pier Bookshop di Morecambe, berdekatan dengan Lancaster. Kedai buku terpakai yang paling aku gemari, itulah dia. Harganya sangat berpatutan, malah dengan berbekalkan £5 aku boleh pulang dengan rasa puas. Semua kisah itu aku pernah ceritakan di Organised Chaos, jadi kalau berminat, boleh cari di sana. Tapi kaitannya dengan paparan minggu ini ialah buku pertama yang aku cari di Old Pier, iaitu Lost Horizon karya James Hilton.
Lost Horizon adalah class reader pertama yang aku baca ketika aku di Tingkatan Satu, Sekolah Tun Fatimah pada tahun 1990. Kisah sekumpulan pengembara yang mencari kehidupan abadi di daerah Shangri-La begitu terpahat di ingatan, hinggakan hampir lima belas tahun kemudian, aku pergi mencarinya kembali. Class reader bukanlah suatu yang wajib dalam silibus Bahasa Inggeris KBSM, dan ianya tidak pernah muncul dalam soalan peperiksaan. Tetapi ia digunakan secara meluas di beberapa Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Biasanya pada awal setiap semester, kami diberi class reader dan diminta membuat ulasan buku tersebut. Beberapa kali dalam semester tersebut cikgu akan membincangkan intipati buku tersebut, dan biasanya, untuk menarik minat pelajar, sebuah video berkaitan akan ditayangkan.
Tajuk-tajuk class reader kami bukanlah hasil karya pemenang hadiah Nobel Kesusasteraan, tetapi lebih merupakan kisah-kisah klasik. Contohnya, selain dari Lost Horizon, Ivanhoe karya Sir Walter Scott; Far From the Madding Crowd karya Thomas Hardy; The Scarlet Pimpernel karya Baroness Orczy dan Animal Farm karya George Orwell. Bukanlah buku yang terlalu berat, tapi tetap sarat dengan makna dan aku kira, boleh dikatakan berjaya mencapai matlamat serampang dua mata: satu, memupuk minat membaca karya klasik di kalangan remaja, dan kedua, mendedahkan pelajar kepada suatu dunia di luar kekangan peperiksaan. Sering aku terfikir, alangkah baiknya kalau ini dibuat di semua sekolah. Nampak gayanya.. tidaklah, kan?
Pada zaman aku belajar di sekolah menengah, komponen sastera, sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu belum lagi wujud. Hanya pelajar yang mengambil matapelajaran khusus kesusasteraan sahaja yang mendalaminya. Jadi apabila aku lihat adik-adik yang membeli buku bacaan komponen sastera ini, aku ralat, tapi pada masa yang sama gembira. Ralat, kerana aku tidak berpeluang mempelajarinya, tetapi gembira kerana pelajar-pelajar sekolah menengah didedahkan kepada bahan bacaan ini.
Lantas apabila timbul desas-desus bahawa karya Sasterawan Negara dan penulis-penulis hebat tanahair tidak lagi akan digunakan sebagai teks dalam komponen sastera, aku, sepertimana lagi beberapa warga ruang maya internet lain, kecewa. Menurut laporan akhbar (aku tidak dapat akses kepada dokumen asal dari Pusat Perkembangan Kurikulum), karya sasterawan negara dilucutkan dari senarai kerana ianya ‘terlalu berat’. Sebaliknya, fiksyen popular hasil karya penulis seperti Ahadiat Akashah dan Sharifah Abu Salem menggantikan tempat yang dipegang oleh Keris Mas dan Abdullah Hussain. Aku membayangkan seolah-olah penggunaan karya Thomas Hardy, George Orwell, Aldous Huxley dan F. Scott Fitzgerald ditukar kepada karya Dan Brown dan Sophie Kinsella!
Aku tidak setuju sebenarnya kalau dikatakan karya-karya sasterawan terlalu berat. Dalam pada penguasaan Bahasa Melayu aku lemah sekali – lihat sahaja catatan dalam blog ini, termasuk catatan ini juga – tatabahasa dan struktur ayat lintang pukang – aku berjaya membaca membaca (antara lain) Anak Titiwangsa, Pahlawan Pasir Salak,Tragedi 4 Disember dan beberapa lagi karya Nazel Hashim Mohamed (Abah begitu gemar memberikan aku karya Nazel Hashim, aku tidak tahu kenapa!). Kalau aku pun boleh, masakan orang lain tidak?
Aku sebenarnya tiada isu dengan Ahadiat atau Sharifah. Aku tidak kenal mereka, dan tajuk-tajuk karya mereka hanya samar-samar dalam ingatan aku. Aku juga bukan ingin memperdebatkan apa itu ’sastera kualiti’ kerana aku bukan ahli jadi sudah pasti ulasan dan pendapat yang aku ketengahkan naif lagi jahil. Lebih ramai yang berkecimpung dalam sastera tempatan yang layak mengulas tentang ‘apa itu sastera kualiti’. Yang ingin aku komen ialah alasan yang diberi oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.
Kononnya, dengan menggunakan karya popular dapat mengurangkan tekanan serta kebosanan pelajar. Apakah itu sebenarnya alasan yang diberikan? Ataupun, apa yang tersirat di situ ialah dengan menggunakan karya popular, maka lebih mudah pelajar memahami intipati karya tersebut kerana plot dan jalan ceritanya mudah dan simplistik, dan dari situ, lebih mudah pelajar mendapat markah tinggi komponen sastera tanpa perlu usaha keras atau berfikir?
Bagi aku tidak ada dosanya karya Ahadiat Akashah dan rakan-rakan. Kewujudannya memeriahkan dunia sastera Malaysia; memberi rakyat pilihan tentang apa yang ingin dibaca. Ini zaman demokrasi, rakyat bebas memilih (kononnya). Sudah dikatakan yang karya-karya baru ini lebih ringan dan mudah jalan ceritanya, jadi biarlah ia dibaca sebagai bahan hiburan dan mengisi masa lapang.
Aku tidak nampak di mana usaha mengurangkan tekanan pelajar ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara, yang matlamatnya ialah “memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani…” serta ” melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri”. Tercapaikah matlamat dengan memberi ’subsidi’ berterusan?
Memang bidang sastera kurang digemari kerana ianya subjektif, terlalu sensitif kepada interpretasi dan mungkin yang paling menyulitkan ramai orang, ia memerlukan kita berfikir! Jadi dari menggalakkan olahan buah fikiran yang berbeza dari pelajar, lebih baik kita kurangkan sahaja perlunya mereka untuk berfikir. Ini pasti meninggalkan ruang dalam otak pelajar untuk menghafal contoh esei dan jawapan struktur dari buku jawapan contoh, agar dapat dimuntahkan dengan sempurna dalam dewan peperiksaan kelak.
Ah, sangat kecewa sebenarnya, kerana aku rasa ini adalah tindakan yang merugikan generasi masa depan. Cuba kita fikirkan. Kalau kita tanya orang, bagaimana untuk pandai, kata orang banyakkan membaca. Di Malaysia, sikap suka membaca sendiri sekian lama gagal di pupuk. Di kalangan mereka yang membaca pula, perlu diteliti apa bahan bacaan. Kalau rak buku sarat dengan Mangga, dan URTV, ditambah pula dengan edisi Harian Metro … ah, aku rasa sudah goyah harapan. Cuba kita lihat, dengan wujudnya karya serious dalam KOMSAS pun, berapa ramai pelajar yang memilih untuk ‘graduasi’ dari teks wajib kepada karya Hamka atau Pramoedya Ananta Toer? Tanpa pendedahan kepada karya sastera berat secara menyeluruh, maka semakin sedikitlah karya agung sasterawan sampai ke tangan anak muda. Terlalu dramatikkah kalau aku bertanya, sampai bila generasi akan datang perlu menanggung akibat dosa generasi terdahulu?
3 Comments
January 30, 2008 at 2:34 pm
lagi teruk kalau nak membayangkan budaya yang tidak membaca.. ‘kita adalah apa yang kita baca’
jadi siapakah ‘mereka’?? :p
February 9, 2008 at 5:19 am
Memang benar. Kita adalah apa yang kita baca.
Itulah sebabnya sebagai ibu-bapa, kita harus memantau apa yang anak2 kita baca selama ini.
Adakah mereka baca komik, majalah hiburan, cerita2 katun fantasi atau majalah2 lucah? Kerana apa yang mereka baca akan menjadi acuan hidup mereka di hari muka…
February 13, 2008 at 7:36 am
Assalamualaikum,
Saya tidak kenal saudara siapa, tapi saya terharu kerana ada juga membaca karya-karya saya, dan lebih bangga kerana ayahanda saudara menggalakkan saudara membaca buku saya.
Nazel