Seorang sahabat aku yang berbangsa British pernah mengutarakan pendapatnya tentang Malaysia yang, menurut beliau, mengelirukan. Keliru kerana, katanya, apabila membaca berita sama ada di akhbar atau di laman web, Malaysia semakin dikuasai pihak yang lebih konservatif dari segi agama, di mana pemuda-pemudi beragama Islam yang didapati bersukaria di kelab malam telah ditangkap dalam satu serbuan; orang Islam yang tidak berpuasa diarak di atas kereta mayat; pasangan yang berasmara di taman ditangkap dan disaman. Tetapi apabila beliau berkunjung ke sana beberapa tahun lalu, beliau dapati bahawa alkohol mencurahbebas bukan sahaja di bar malah di restoran; kelab malam dipenuhi umat manusia dari berbagai kaum; dan paling menghairankan beliau, wanita di Malaysia bebas berpakaian ala-kebaratan dengan skirt pendek atau baju tanpa lengan.
“Aku membayangkan, negara kau seperti Iran – tidak bertudung maka ditangkap polis,” ujarnya sambil ketawa.
“Ah, kalau kami Iran, sudah pasti karya filem kami lebih bermutu,” aku membalas. Dia sedikit terpinga dengan maksud tersirat pernyataan itu, tapi itu cerita lain.
“Jadi sebenarnya, Idlan,” sambungnya, “Media Barat ini menipukah? Semua yang dilaporkan itu tidak terjadi sebenarnya?”
“Ia berlaku,” jawabku. “Tapi ini Malaysia. Sedikit kompleks untuk aku jelaskan.”
Sebenarnya, kompleks untuk aku jelaskan kerana ianya kompleks untuk aku fahami. Awal minggu ini, ketika aku membaca akhbar Guardian sepulangnya dari pejabat, di sudut kecil di mukasurat laporan antarabangsa, diberitakan kisah Faizal Tahir yang dikenakan tindakan kerana membuka baju secara ’striptease’ ketika membuat persembahan secara langsung. Aku difahamkan, bukan sahaja Faizal yang dikenakan tindakan, tetapi juga 8TV yang membawa siarang langsung tersebut. Dan RTM kini khabarnya sedang menimbang untuk turut mengenakan tindakan gam terhadap Faizal. Belum pasti kenapa Faizal berlaku demikian. Mungkin beliau tidak sengaja. Hilang pertimbangan dalam keadaan gemuruh..
Sungguh cepat tindakan yang dikenakan terhadap Faizal. Aku sendiri kurang prihatin terhadap adanya larangan artis lelaki membuka baju ketika siaran langsung. Apakah larangan tersebut juga dikenakan kepada pemain bolasepak, kerana memang ada pemain bola yang merayakan jaringan gol dengan membuka baju. Tapi yang jelasnya larangan tersebut tidak wujud dalam media cetak: saban minggu jika anda buka majalah hiburan Mangga atau sekutunya, terdapat gambar artis sekadar berseluar pendek dan berendam di dalam kolam mandi. Malah aku masih ingat, pos baring seorang penyanyi rock kapak (aku rasa Awie) dalam URTV di mana beliau tidak berbaju dan sekadar berseluar ketat sahaja.
Aku pasti artis wanita juga dilarang membuka baju sama ada siaran langsung atau tidak, tapi aku kurang arif tentang had yang dikenakan kepada artis wanita dalam berpakaian. Seingat aku, di majalah seperti URTV atau Mangga, gambar artis lelaki dan wanita berpelukan atau wanita berpakaian menampakkan betis atau sebahagian dada sering dipaparkan. Bukan di bahu aku letaknya tugas menentukan sama ada apa yang mereka buat ini betul atau salah, tetapi aku ingin tahu, di mana sebenarnya kita mengenakan had? Di mana garisannya? Siapakah yang membuat garispanduan ini dan asasnya di mana? Saduran garispanduan dari negara baratkah? Atau negara Arab? Adakah berdasarkan landasan aurat? Aku rasa tidak, kerana kalau diikutkan, dengan menayang dada Faizal Tahir tidak membuka aurat.
Akhbar di Australia memetik pihak 8TV berkata perlakuan Faizal itu tidak boleh diterima di sebuah negara konservatif dan majoriti Muslim seperti Malaysia. Ah, tetapi tayangan lurah dada dan pakaian seksi di media cetak tidak apa dan boleh diterima? Dan kalau tidak, kenapa tiada konsistensi antara media cetak dan tv? Ah, aku keliru!
Disinilah kompleksnya yang tak dapat aku huraikan. Polisi yang diaplikasikan di negara kata, pada satu aspek berlandaskan Islam. Larangan cumbuan di tempat awam, misalnya; dan juga serbuan tangkap basah terhadap pasangan bukan muhrim yang berdua-duaan. Tetapi kenapakah orang Islam yang ditangkap memandu dalam keadaan mabuk tidak dikenakan tindakan kerana meminum arak – kerana Islam jelas mengharamkan arak.
Rakan aku yang berbangsa Melayu tetapi dengan terbukanya meminum arak pernah bercerita, dia yang juga tidak berpuasa pernah suatu hari pergi makan di siang hari di sebuah restoran yang agak ekslusif. Pelayan yang bekerja di situ, ketika mengambil pesanan beliau, bertanyakan bangsanya kerana mengikut pelayan tersebut, orang Islam tidak boleh makan disiang hari pada bulan Ramadhan. Rakanku mengaku beliau Melayu, tetapi tidak berpuasa. Yang mencuit hati beliau ialah ketika makan malam di restoran yang sama, beliau sering kali memesan sebotol wain dengan hidangan makan malam, tetapi tidak pernah sekalipun pelayan di restoran itu bertanyakan bangsa atau agama beliau. Tanyanya kepada aku, Malaysia ini Islam pada bulan Ramadhan sahajakah? Aku jawab, entah, mungkin kau boleh cuba pesan wain pada bulan Ramadhan.
Kompleksnya juga pada aku apabila pasangan bercumbuan di taman ditangkap dan disaman, tetapi tiada usaha untuk pergi ke kawasan luar bandar untuk meninjau tayangan tidak rasmi wayang porno di rumah-rumah di kampung, yang akibat langsungnya ialah kejadian tragis seperti adik dirogol abang, atau remaja perempuan digilirrogol oleh sekumpulan remaja lelaki. Atau tiada usaha untuk meninjau kegiatan pelacuran yang berlaku di kawasan luar bandar: menurut seorang rakan yang mengajar di sebuah universiti tempatan, pelajar beliau pernah menangis bercerita tentang kerisauannya terhadap ibunya sendiri yang terpaksa ‘menjual badan’ untuk menampung sara hidup mereka sekeluarga setelah ayah mereka menghilangkan diri. Dalam kes-kes sebegini, adakah tugas kita untuk melaporkan pada pihak berkuasa agar tindakan diambil, atau tugas pucuk pimpinan tempatan untuk mengambil tahu perihal anak buah? Atau keduanya? Dan tidak terlangsai hutang sosial ini kerana kita terlalu sibuk dengan tugasan harian, dan mereka terlalu sibuk memperbaiki handicap golf.
Yang aku harapkan, sebenarnya, adalah konsistensi dalam perlakuan, ataupun sekurang-kurangnya usaha ke arah itu. Kalau inginkan satu kod moral digunakan, gunakanlah dengan konsisten, dan apabila bertindak, biarlah tanpa mengenal pangkat atau harta. Kalau tidak, maka usahlah berpura pura yang kita ini Islamik. Aku tidak gemar paparan seolah-olah kita mengamalkan cara hidup bermoral atas landasan Islam yang cuba kita warwarkan melalui tindakan tegas yang dihebahkan ke seantero, tetapi ini sekadar untuk membolehkan kita berkata, “Oh, kami memang Islamik, lihatlah, Zouk sudah diserbu, kegiatan black metal kita haramkan”. Walhal di bawah permukaan, epidemik masalah sosial sebenar diabaikan kerana tiada siapa yang tahu, jadi untuk apa kita ambil tindakan?
7 Comments
January 20, 2008 at 11:12 pm
pasal Msia itu adalah…. Boleh-land, semua boleh.
‘untuk apa kita ambil tindakan?’ :
undang2 diwujudkan, penguatkuasa dilantik. tangkapan mesti dibuat (kalau tidak, mereka yg dilantik nampak tak buat kerja). siapa yg nak ditangkap?
> mereka yg tiada upaya utk melawan (dengan wang dan kuasa). senang…
January 20, 2008 at 11:47 pm
[...] … wrote an interesting post today on KeliruHere’s a quick excerpt“Ah, kalau kami Iran, sudah pasti karya filem kami lebih bermutu,” aku membalas….“Aku membayangkan, negara kau seperti Iran – tidak bertudung maka ditangkap polis,” ujarnya sambil ketawa…. [...]
January 21, 2008 at 2:14 pm
Senang, tapi tak adil, kan? Kalaulah yang senang itu secara automatiknya, yang betul…
January 21, 2008 at 9:48 pm
seluruh tindak tanduk kehidupan manusia sejagat berkisar pada satu faktor asas, ‘kuasa’. kerana idaman dan keperluan asasnya ialah ‘keselesaan’ (comfort)… dan ‘kuasa’ memangkinkan ‘keselesaan’.
January 27, 2008 at 12:42 am
apabila kita melihat persoalan keadilan..saya tertarik untuk memetik kata kata saudara idlan”….Dalam kes-kes sebegini, adakah tugas kita untuk melaporkan pada pihak berkuasa agar tindakan diambil, atau tugas pucuk pimpinan tempatan untuk mengambil tahu perihal anak buah? Atau keduanya? Dan tidak terlangsai hutang sosial ini kerana kita terlalu sibuk dengan tugasan harian, dan mereka terlalu sibuk memperbaiki handicap golf.”
kelak di akhirat akan ditanya pada yang memperbaiki handicap golf itu, dan dalam pada itu pula disebabkan mahkamah akhirat itu adil semestinya adanya penghujahan mempertahankan diri dengan sang dia(golfer) akan berkata,” oh orang dibawahku atau rakyat ku tidak melaporkan padaku..”
semua kena main peranan dan kena ada kesedaran..ada satu hadis dari Muhammad (pbuh) yang maksudnya lebih kurang begini, ada dua komponen dalam masyarakat itu dan kalau baik dua komponen itu akan baiklah semuanya iaitu ulama dan umara..
and it is important to note that the definition of ulama is very wide, bukan terbatas pada ustaz atau mufti semata mata…for example, you can be considered as ulama..ulama dalam bidang sosio politik..
dan yang paling irony dan best nya whatever it is, umara aka pemerintah, definition is one..
wallahu alam
January 30, 2008 at 2:17 pm
khalifah=pemimpin,
manusia=khalifah,
aku=kau=manusia
‘…yang akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kamu pimpin. terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat..’
jadi kita juga tidak terlepas untuk memainkan peranannya.
mulakan dengan kita sendiri, sebarkan pada keluarga dan seterusnya pada masyarakat.
dan dari mana nak mula, tentunya dari asas agama yg KUKUH.
sama-samalah kita.
February 14, 2008 at 7:05 am
kita melihat..kita mengkritik..tapi kita tak mampu melakukan apa2..huu
Berdoalah agar mereka juga berdoa