1 Oktober 1995, Eric Cantona menjaringkan penalti di Old Trafford setelah Ryan Giggs dijatuhkan. Jaringan yang penuh bermakna, bukan hanya kerana jaringan tersebut menyamakan kedudukan United dengan seteru Liverpool, tetapi ulungnya ia merupakan jaringan pertama Cantona setelah menyempurnakan hukuman gantung sembilan bulan akibat menyerang seorang peminat Crystal Palace yang menghamburkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap beliau. Minggu lepas pula, pasukan kriket India mengugut untuk tidak meneruskan Test mereka di Australia setelah Harbhajan Singh didapati bersalah mengeluarkan penghinaan berbaur perkauman kepada pemain Australia berkulit hitam, Andrew Symonds. Tanggapan umum bahawa hanya mereka yang berkulit gelap menjadi mangsa cacian perkauman, dan hanya mereka yang berkulit cerah bersikap rasis ternyata tersasar.
Isu perkauman ini aku anggap menarik kerana ianya suatu isu yang pasti mengetengahkan sikap hipokrit dalam setiap orang. Dalam pada masa yang kita berkeras mengatakan sikap perkauman tidak ada tempat dalam masyarakat kita, ketika itu juga kita mendengus keras tentang sikap “towkay Cina di jalan besar sana yang penipu’. Aku sering ingin tahu apa peranan bangsa towkay itu dalam konteks dia dituduh penipu. Apa perlu menyebut bangsa towkay itu? Kalau dia memang penipu, maka bangsanya tidak menjadi soal; penipu adalah penipu. Atau mungkin ada implikasi yang dia penipu kerana bangsanya?
Soal puak dan suku kaum tidak boleh diperlekehkan, pada hemat aku. Perlu kita sering uji diri kita soal dimana kita berdiri sebenarnya dalam isu perkauman; apakah kita bersikap rasis, dan apakah perlu kita baiki sikap kita itu. Memang sudah jelas dari segi sejarah, dan aku pasti juga dari segi agama, tentang ancaman sikap taksub puak atau kaum ke atas keharmonian sejagat. Islam diturunkan untuk menyatukan umat manusia di bawah naungan satu agama, tanpa mengira kaum. Walaupun Islam diturunkan di bumi Arab Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita dalam khutbah terakhir baginda, “Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih)”. (Sedihnya bagi aku, apabila sudah bersatu di bawah naungan satu agama, timbul pula konflik sektarian. Tapi itu mungkin kupasan lain kali).
Tetapi apa yang kita lihat sekarang, yang berlaku adalah sebaliknya, tidak kira sama ada di negara yang majoriti penduduknya Muslim atau sebaliknya. Kalau kita lihat konflik-konflik berdarah yang berlaku dalam era pasca-perang; terlalu banyak pertumpahan darah berlaku akibat taksubnya kita kepada kaum. Di Rwanda, misalnya, genosid yang berlaku berpunca dari perseteruan kaum Hutu dan Tutsi. Pertumpahan darah di Kenya baru baru ini walaupun berasaskan protes terhadap pilihanraya, akar umbinya ketegangan perkauman antara puak Kalenjin dan Kikuyu. Perpecahan Yugoslavia lahir dari konflik antara puak Serb, Croat, Albania dan Bosnia. Aku sering tertanya sama ada perkosaan bumi Afghanistan dapat ditangani dengan lebih berkesan jika puak Pashtun dan Hazara mampu melampaui batasan perkauman.
Tapi mungkin sikap taksub kepada kaum ini sebenarnya tidak dapat dielakkan. Naluri manusia untuk menafsirkan identiti diri dengan bangsa. Ketaksuban yang tidak mengenal kemajuan atau kemunduran. Sebab itulah, bagi sebuah negara yang menganggap dirinya moden (walaupun dipenuhi dengan rednecks dan pejuang Ku Klux Klan) Amerika Syarikat masih di tahap berfoya-foya dengan idea meletakkan seseorang yang berkulit hitam sebagai calon presiden.
Jadi dari situ, kalau kita fikirkan, kalaulah ‘negara contoh demokrasi’ yang melantik diri mereka sebagai ajen menyebarkan demokrasi ke seluruh dunia; yang begitu lancang melabel negara yang tidak mereka gemari sebagai dipimpin oleh diktator sekalipun proses pengundian berlaku dengan adil dan tiada kontroversi.. ya, negara yang mahu memimpin dunia ini pun tidak pernah meletakkan calon bukan berkulit putih menerajui pucuk pimpinan, apakah sebenarnya tidak perlu kita mengambil kira sangat isu perkauman? Lihatlah, sebuah negara progresif pun masih meletakkan martabat kepada mereka berkulit cerah; apakah perlu kita mengolah semula corak pimpinan negara kita sendiri untuk lari dari politik etnik? Aku sudah ada jawapan aku. Tapi apa kata kamu?
2 Comments
January 13, 2008 at 10:19 pm
[...] komen:tari updated. [...]
January 20, 2008 at 5:15 pm
aku ingat siapalah mamat bernama rasis ni, racist ke kak long? perkataan melayu dia bersifat perkauman kan? hehe.
menarik kupasan kau mengenai islam diturunkan untuk menyatukan seluruh umat manusia, kerana ada sahaja muslim yang menggunakan alasan agama untuk bersifat rasis (pinjamlah perkataan kau ni) terhadap golongan yahudi. dalam hal ini bagaimana pula? takkanlah islam sebagai agama yang syumul mengadvokasikan rasa benci hanya berdasarkan bangsa engkau dilahirkan? kerana aku islam dan aku yakin islam ini indah, aku sukar untuk menerima sahaja hujahan mereka yang mengatakan dalam islam pun kita disuruh untuk berhati-hati dengan sesuatu kaum. aku rasa mungkin cara pemahaman kita salah.
aku rasa benda paling tidak adil sekali di dunia ini adalah apabila kita dinilai berdasarkan benda-benda yang tidak boleh kita ubah seperti warna kulit dan rupa bentuk (aku rasa hanya boleh dibuat pengecualian dalam pemilihan pasangan hidup, itu pun, hotness knows no racial boundaries, hehe). mungkin jacko telah membuktikan kita boleh ubah warna dan rupa tapi lihatlah beliau, tak gembira pun walaupun kini lebih pucat dari orang utara (utara bumi, bukan kedah ye).
amerika sekarang progresif ke belakang aku rasa, (sejak bush dilantik). apa mungkin setelah dapat dicapai kemuncak piramid maslow, manusia akan terjun saja dari puncak itu dan persetankan kemanusiaan?