“Kau tak boleh samakan Chua Soi Lek dengan Rahim Tamby Chik,” ujar seorang sahabat seselesainya membaca post dalam Organised Chaos.
“Atas dasar apa?” aku bertanya.
“Atas dasar, Chua Soi Lek mengaku bersalah, tetap Rahim Tamby Chik tidak pernah membuat pengakuan.”
“Apa bezanya?”
“Oh ini Malaysia, kawan. Selagi tiada pengakuan, maka tidak wujud konsep ‘bersalah’ tu.”
Mungkin inilah aplikasi terbaik konsep “innocent until proven guilty” dalam konteks ahli politik atau selebriti kita. Kerana nampaknya selagi tidak ada pengakuan ikhlas lagi berani, kelihatan seperti tiada usaha gigih untuk membuktikan kebersalahan itu. Kawalan media massa nampaknya sangat berkesan di Malaysia. Tetapi dalam konteks perbincangan ini, yang ingin aku ketengahkan ialah, kalau media massa yang sedia ada tidak mahu mendedahkan perlakuan ahli parlimen, menteri atau mereka yang ternama yang pro-kerajaan yang berunsurkan rasuah, tidak bermoral, nepotisma dan sebagainya, maka secara jelasnya wujud satu imuniti bagi mereka. Selagi tidak mengaku, maka tidak bersalahlah.
Kita tidak ada badan atau suruhanjaya yang membuat inkuiri terhadap tuduhan-tuduhan yang diutarakan, aku rasa. Kalau tidak masakan bukti AP dan kontrak MRR retak diabaikan begitu saja. Suhakam sekadar menyiasat soal hak asasi – dan dalam pada itu, aku juga ingin tahu banyak manakah lagi saranan Suhakam yang tidak diambil kira atau dikaji untuk implementasi selanjutnya. Apakah siasatan yang dijalankan oleh Suhakam sama berkesannya dengan rakyat Britain (dan antarabangsa) yang berarak dalam jutaan membantah peperangan Iraq – dibiarkan mereka ini bersuara, tapi suara itu tidak dipedulikan; dan hak bersuara (atau menyiasat) itu sekadar puting plastik yang dinyonyot oleh bayi untuk mengelakkan dia terus menangis.
Kalau Chua Soi Lek terus menerus menafikan beliaulah aktor dalam DVD tersebut, apakah dia mungkin terlepas dari nasib yang beliau kini hadapi? Mungkin terlalu mudah untuk menaakul begitu; kerana kita abaikan aspek-aspek lain seperti dengki dan politik dalaman MCA yang aku pasti memainkan peranan penting dalam percaturan Chua sebelum beliau membuat pengakuan tersebut. Tetapi harapan Chua agar perbuatan beliau ‘dimaafkan’ oleh rakyat yang kita tahu memang pada lahirnya mengamalkan kod moral yang tinggi agak naif. Aku kata pada lahirnya kerana kita terlalu cepat menuding jari dan menghakimi perbuatan orang lain yang kononnya tidak berakhlak; tetapi kita sendiri di belakang tabir tidak jauh bezanya. Cuma kita rasa kita lebih bijak – bodohnya orang yang bercumbu di taman, lihatlah seperti aku, sekurang-kurangnya aku kunci pintu!
Mungkin Chua lupa akan tanggapan umum terhadap golongan yang membantah DBKL memantau perbuatan pasangan kekasih di Taman KLCC. Golongan yang membantah itu bersuara atas dasar hak asasi manusia untuk membuat apa sahaja asalkan tidak melibatkan kesulitan kepada orang lain; namun mereka dipaparkan sebagai orang yang tiada nilai moral dan mengalami keruntuhan akhlak serta menyokong perbuatan sumbang di tempat awam.
Kalau rakyat merasakan perbuatan bercumbu di taman itu sebagai satu taboo, apatah lagi hubungan seks dengan pasangan bukan isteri? Ya, aku paham rasa kecewa Chua dan menuduh rakyat bersikap “holier-than-thou” kerana beliau pun tahu mereka yang lantang bersuara meminta beliau meletakkan jawatan pun, tidaklah dari kalangan yang berakhlak mulia semuanya. Kata orang tua, satu jari menuding, tiga lagi menghala kepada kita. Chua tidak bernasib baik. Beliau ‘kantoi’. Naif juga kalau beliau berharap status politik beliau diselamatkan kerana beliau bercakap benar. Kita bukan Amerika Syarikat, Chua bukan Bill Clinton dan “personal friend” Chua bukan Monica Lewinsky.
Agak hipokrit kita aku rasa, sebenarnya. Kerana pada luaran kita mahu dilihat seperti kita ini bermoral, berhemah tinggi, seorang Muslim yang baik dan beretika. Sedangkan di sebalik tirai gaya hidup dekaden, hedonistik dan lebih Barat dari mereka yang berada di Barat.. itulah yang kita amalkan. Walaupun aku rasa tidak melampau jika kita memegang pemimpin kita kepada kod moral dan etika yang tinggi, aku juga ingin suatu hari melihat kita cuci kaca mata kita yang kian kabur dengan perbuatan pemimpin yang kadangkala terlalu jelas salah dan korup. Suatu hari, InsyaAllah.
1 Comment
January 8, 2008 at 2:30 am
Betol. Betol. Ramai lagi yg terbabit. Tak kire dari golongan pemerintah mahupun pembangkang.