Dilayarkan satu emel minggu ini kepada rakan seangkatan di jabatan, bertanya pendapat mereka tentang penggunaan Wikipedia dalam kerja akademik. Kerap dijumpai dalam esei pelajar, rujukan untuk definisi atau kupasan isu yang diletakkan di dalam bibliografi, Wikipedia sebagai sumber rujukan. Secara sebulat suara rakan sejabatan berpendapat bahawa laman web seperti Wikipedia bukanlah sumber akademik yang autoritatif; malah bukan suatu sumber akademik pun.
Namun begitu, kata salah seorang dari mereka, tidak bermakna Wikipedia tidak boleh digunakan dalam penyelidikan. Contohnya jika ingin mengambil gambaran asas atau kasar tentang sesuatu topik, Wikipedia menyediakan rumusan yang mudah difahami dan cepat dicapai. Tetapi yang menjadikan Wikipedia tidak sesuai digunakan sebagai rujukan akademik adalah kerana ianya boleh diubah oleh sesiapa sahaja, dan dalam dunia akademik kesahihan sumber yang digunakan begitu dititikberatkan. Kiasannya, sesiapa sahaja boleh berbual tentang hal kesihatan, tetapi pendapat yang lebih dipercayai dan dipautkan tentulah pendapat seorang doktor; dan di kalangan doktor, pastilah seorang konsultan atau pakar lebih dirujuki berbanding seorang doktor pelatih.
Tetapi satu komen yang agak menarik yang diutarakan ialah, “Kenapa para pelajar ini tidak mempersoalkan kesahihan definisi atau rumusan Wikipedia?” Jawapan paling mudah, pelajar itu malas. Dia tidak mahu berusaha mencerna jawapan yang bernas dengan membuat analisa dari pendapat berbagai sumber; sebaliknya mahukan sesuatu yang berbentuk gratifikasi segera. Tetapi juga ada segolongan pelajar, terutama dari sebuah negara yang tidak mahu saya sebutkan di sini, yang jelas rajin dan berusaha tetapi begitu asing dengan kaedah menganalisa, mempersoalkan pendapat dan mengetengahkan ujuran idea masing-masing. Bagi mereka, jawapan yang sahih itu ada satu, dan jika mereka sudah jumpa jawapannya, tiada lagi persoalan kesahihan yang perlu dibuat.
Kenapakah ini terjadi? Sudah pasti, jawapan yang pertama, soal budaya. Keduanya, soal sistem pendidikan. Sedikit terganggu juga, bila memikirkan sistem pendidikan negara yang masih terlalu bersifat latih tubi. Walaupun pada dasarnya, latih tubi itu sebenarnya bukan masalahnya, tetapi lebih berbentuk simtom. Masalah terletak kepada sistem ganjaran, tetapi ini topik yang layak dikupas secara berasingan.
Satu sindrom yang sering diperhatikan ialah sindrom reaksi terhadap emel yang dimajukan kehadapan. Jarang sekali amaran, berita atau ‘fakta’ yang dibawa di dalam emel-emel ini sahih. Namun begitu, sangat pantas ianya terbang dari satu kotak emel ke kotak emel lain, melangkaui batasan lautan dan gunung. Contohnya, emel yang mengkhabarkan bahawa seorang wanita yang luka lidahnya ketika menjilat sampul surat mendapati telur lipas yang terletak di sampul surat tersebut menetas di dalam mulut beliau. Untuk menambahkan kesahihan ‘berita’ ini, diselitkan juga di dalam emel tersebut yang berita ini telah muncul di CNN. Tidak pula disebutkan tarikh, tahun dan sebagainya supaya boleh dilakukan rujukan silang dengan CNN untuk memastikan berita itu sahih. Tetapi tanpa kesahihan itu sekalipun, begitu pantas kita bertindak secara panik dan menghantar emel tersebut kepada semua rakan dalam buku alamat siber.
Kenapa tidak diteliti? Kenapa tidak dikaji sebelum dimajukan? Jawapan yang sering diterima ialah, “Tak ada masa lah nak siasat”. Lantas soalan balas, “Tetapi kalau tidak tahu kesahihannya kenapa tetap majukan juga?” Jawapan: “Mana tahu kalau betul. Untung-untung dapat tolong orang.” Terdetik juga ingin menjawab, itu kalau untung-untungnya. Kalau rugi-ruginya, dapat tumpang sebar maklumat salah atau lebih berat lagi, fitnah.
Dunia siber sebenarnya membuka peluang untuk kita mengkaji dengan lebih mendalam lagi. Kalau dahulu kita perlu pergi ke perpustakaan dan sebagainya untuk mendapat bahan rujukan, kini semuanya dapat dicapai melalui papan kekunci. Sangat mudah dan cepat, tanpa perlu berebut naskhah ensaiklopedia tunggal perpustakaan. Namun begitu ianya juga membawa cabaran kepada kita. Sesiapa sahaja mampu menulis apa sahaja di internet. Dakyah dan fitnah tinggal seiring dengan kebenaran yang sahih. Semangat ingin tahu bukan lagi sesuatu yang hanya perlu ada bagi mereka yang berminat dengan penyelidikan; dalam dunia alaf ini ianya suatu kemahiran asas dalam usaha menapis maklumat yang terapung di awangan dan menerjah kita sama ada dalam keadaan sedar atau tidak.
Dan diakhiri catatan minggu ini dengan sedikit komen tentang pilihanraya yang bakal berlangsung di tanahair tidak lama lagi. Jangan terlalu cepat percaya ‘dakyah’ atau janji – sama ada dari kerajaan atau pembangkang. Kaji, lihat, fikir. Ada akal, guna. Ada kertas undi, pangkah. Hajat aku kali ini, ingin menyaksikan yang terbaik untuk negara dipilih, tanpa prejudis, paksaan atau ketakutan.